Monday, July 19, 2010








Pengasas Kesultanan Terengganu hari ini ialah Sultan Zainal Abidin 1. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Padang Saujana). Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raj

a Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk (Raja Tua) di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas takhta kerajaan Terengganu oleh Phra Nang Chau Yang, Raja Patani.
Mengikut Hikayat Johor Serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Patani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar tahun 1688. Ketika berada di Patani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Patani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708, berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin 1 tidak lama bersemayam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, Langgar dan Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (Kota Lama).
Sultan Zainal Abidin 1 digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur (Sultan Mansur I) pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah 1 berkahwin dengan Raja Bulang, anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur 1 telah menghabiskan empat belas tahun (1746 - 1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus (Yang DiPertuan Kelantan), putera Long Sulaiman ibni Long Bahar menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
Sultan Mansur digantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 - 1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Muhammad ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 - 1830), Sultan Abdul Rahman (1830), Sultan Daud (1830-1831), Sultan Mansur II (1831 - 1837), Sultan Muhammad (1837 - 1839), Baginda Omar (1839 - 1876). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahu 1831 menggantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876 - 1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918 - 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 - 1942).

Wednesday, June 23, 2010

Kesultanan Sultan Teregganu
• 1708 - 1733: Tun Zainal Abidin
• 1733 - 1794: Sultan Mansur I
• 1794 - 1808: Sultan Zainal Abidin II
• 1808 - 1830: Sultan Ahmad
• 1830: Sultan Abdul Rahman
• 1830 - 1831: Sultan Daud
• 1831 - 1837: Sultan Mansur II
• 1837 - 1839: Sultan Muhammad
• 1839 - 1876: Baginda Omar
• 1876 - 1881: Sultan Ahmad Shah II
• 1881 - 1918: Sultan Zainal Abidin III, putera Sultan Ahmad Shah II ;
• 1918 - 1920: Sultan Muhammad Shah II
• 1920 - 1942: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
• 1942 - 1945: Tengku Ali
• 1945 - 1979: Sultan Ismail Nasaruddin Shah
• 1979 - 1998: Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
• 1998 - kini: Sultan Mizan Zainal Abidin
Asal Usul Nama Terengganu

Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".

Sementara itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu " kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, di antara mereka di dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu ". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di " Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.

Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ). Kisah ini menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai Terengganu.

Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke " Terangan ni " atau " Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu